Menerusi pengumuman yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Khidmat Rundingan Majikan (EAS) bermula 15 April 2020 ini.
EAS akan memberikan khidmat rundingan kepada majikan, terutamanya berkenaan caruman syer majikan dalam keadaan ekonomi semasa.
Inisiatif ini bertujuan membantu majikan kekal beroperasi untuk meneruskan kesinambungan pekerjaan dan memelihara kelangsungan hidup pekerja mereka. Di samping itu, ia dapat membantu majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menstabilkan aliran wang tunai mereka walaupun berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19.
Melalui EAS, KWSP akan membuat penilaian semula ke atas syarat-syarat tertentu untuk syarikat-syarikat yang terjejas dan menawarkan pelan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan Caruman Berkanun Syer Majikan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991.
Langkah-langkah ini boleh merangkumi penstrukturan semula jadual caruman atau merangka semula jadual pembayaran caruman yang tertunggak.
Malah, inisiatif EAS ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 480,000 PKS serta memastikan kesinambungan pekerjaan bagi 7.6 juta pekerja.