Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 27 Mac

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

27 MAC 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 44 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 259 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 27 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 130 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,161 kes.

Sehingga kini, seramai 54 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 34 memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat tiga (3) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 26 kes.

  • Kes kematian ke-24 (kes ke-1056) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam.
  • Kes kematian ke-25 (kes ke-2032) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 6.55 petang.
  • Kes kematian ke-26 (kes ke-1321), adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes 1309). Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 pada 10.30 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD)

Kerajaan Malaysia telah mengambil pendekatan drastik dalam membendung penularan jangkitan COVID-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020  yang kini dilanjutkan tempoh sehingga 14 April 2020. KKM sememangnya memantau rapat kes-kes positif yang dilaporkan di seluruh Malaysia. Mengambil kira situasi semasa, Kerajaan mendapati terdapat keperluan untuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Kluster Keselamatan) semalam, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor bermula pada 27 Mac 2020 sehingga 9 April 2020.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, Daerah Kluang, Johor melaporkan sebanyak 88 kes positif COVID-19, dengan 74 daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Tujuan PKPD ini adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penulasan COVID-19. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan.

KKM mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini. Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu.

Untuk makluman, kerja pembersihan dan disinfeksi di tempattempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian  Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Simpang Renggam. Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat-tempat tumpuan awam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk tentang tatacara disinfeksi rumah yang betul.

Perkhidmatan kesihatan di Klinik Desa Dato’ Ibrahim Majid diteruskan seperti biasa manakala perkhidmatan kecemasan akan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Perubatan Kecemasan (MECC).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihatkan orang ramai agar mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM. Setiap rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Rakyat Malaysia diseru agar:

1. Berada di rumah.
2. Mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing).
3. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat. Orang awam juga boleh menghubungi talian
CPRC Kebangsaan, KKM.

Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

27 Mac 2020 @ 5:00 petang