Artikel

Dana Tambahan Berjumlah RM4.5 Bilion Kepada PKS

Menerusi pengumuman YAB PM Muhyiddin Yassin pada sidang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat juga, turut menyentuh berkenaan peruntukkan kepada kumpulan perusahaan sederhana dan kecil (PKS) termasuk usahawan mikro.

Susulan itu,Kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama.

  • Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
  • Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
  • Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
  • Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
  • Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman. Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini.