Kerajaan hari ini (26 Mac) telah memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada dua buah kawasan di Daerah Kluang, Johor.
Tindakan ini susulan daripada jumlah peningkatan kes positif COVID-19 di Johor mencatatkan 83 kes. Namun, 61 kes daripada angka tersebut adalah dari kawasan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang.
Seramai 3,570 penduduk tempatan dan 650 keluarga akan berada dibawah PKPD ini. Perintah ini akan mulai berkuat kuasa tengah malam ini, 27 Mac 2020 hingga 9 pril 2020.
Tujuan PKPD ini dilaksanakan adalah untuk mengatasi penularan COVID-19 pada kawasan terbabit. Langkah turut memudahkan aktiviti pengesanan dilakukan dari rumah ke rumah sepanjang tempoh PKPD.
Dengan pelaksanaan perintah ini:
- Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
- Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
- Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
- Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
- Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
- Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.
Buat penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.