Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 26 Mac

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

26 MAC 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 215 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 26 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 235 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,031 kes.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, 175 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 32 memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat (4) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 23 kes.

  • Kes kematian ke-20 merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 4.35 petang.
  • Kes kematian ke-21 merupakan kes ke-1588, lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun. Beliau juga merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020, jam 4.00 pagi.
  • Kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1797, lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau juga telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020, jam 8.15 malam.
  • Kes kematian ke-23 merupakan kes ke-1840, lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun daripada Kajang. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 12.37 tengah hari. Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster COVID-19.

KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

ANGGOTA KESIHATAN DAN POTENSI JANGKITAN COVID-19

Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 26 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, dilaporkan bahawa terdapat 80 anggota kesihatan KKM dikesan positif penyakit COVID-19.

Setakat ini, TIADA kes jangkitan anggota kesihatan KKM yang disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM. Daripada jumlah tersebut, seramai 39 anggota adalah dari kejadian kluster di Hospital Teluk Intan, Perak. Mengambil kira situasi semasa, KKM telah menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan Hospital Teluk Intan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di
hospital tersebut.

Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan.

Pengamal perubatan di hospital dan klinik swasta juga merupakan barisan hadapan dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan swasta untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang dinyatakan di atas terutamanya mengamalkan penggunaan penutup mulut dan hidung (face mask) semasa mengendalikan pesakit dan menggunakan PPE yang sesuai apabila melaksanakan sebarang prosedur klinikal.

PERKHIDMATAN KESIHATAN IBU HAMIL DAN ANAK DI KLINIK KESIHATAN, KLINIK KESIHATAN IBU DAN ANAK SERTA KLINIK DESA

Walaupun dalam keadaan situasi wabak COVID-19 ini, KKM ingin menekankan bahawa Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa. Anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat. Bagi ibu hamil dan ibubapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan/klinik

Justeru, ibu hamil diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan. Perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa. Ibubapa diminta untuk mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang telah ditetapkan. KKM ingin mengingatkan tentang kepentingan mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable diseases).

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi klinik kesihatan yang berdekatan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat .

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa dalam laman sesawang KKM; http://www.moh.gov.my/index.php

Pihak KKM ingin melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan COVID-19 di semua peringkat yang sedang bertungkus lumus dalam menangani penularan jangkitan ini di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

26 Mac 2020 @ 5:00 petang