Artikel

[RENCANA] Tangguh Bayaran Pinjaman Atau Bayar Seperti Biasa? Mana Lebih Baik?

Pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai penangguhan bayaran pinjaman bank selama enam bulan telah mengundang rata-rata reaksi yang positif dari pelbagai pihak.

Ini selari dengan usaha Kerajaan untuk membantu rakyat dan peniaga kecil sederhana yang mendapat impak langsung dari penyebaran COVID19 di negara ini.

Walaupun saya percaya langkah ini secara umumnya akan membantu pengusaha-pengusaha yang terbeban disebabkan kerugian perniagaan yang diuruskan mereka dan individu yang kehilangan pendapatan langsung daripada Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya merasakan ada pihak yang tidak mendapat manfaat melalui langkah ini.

Apa yang saya maksudkan?

Perkara pertama yang perlu difahami adalah penangguhan bayaran atau moratorium ini bersifat ‘cuti dari pembayaran’ atau ‘payment holiday’.

Jadi, harus diingat di sini bahawa faedah tetap berjalan sepanjang tempoh ini.

Kita boleh lihat sendiri melalui penjelasan oleh Bank Negara iaitu:-

“Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh, dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan”.

Terakru di sini bermakna faedah akan tetap diambilkira. Oleh itu, pengguna perlu faham sepenuhnya kesan penangguhan ini terhadap pembiayaan yang diambil masing-masing.

Jadi, jika anda tidak kehilangan sumber pendapatan atau tidak memiliki perniagaan, hubungilah bank anda untuk mengetahui keadaan sebenar pinjaman anda selepas ini.

Mungkin lebih baik untuk teruskan bayaran kerana langkah ini secara umum dibuat untuk meringankan beban mereka yang terkesan secara negatif dari PKP ini.

Walau apa pun, rakyat disaran untuk kekal tenang ketika PKP ini yang baharu sahaja dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Harapan kita, rangkaian jangkitan COVID19 dapat diputuskan dan kita dapat meneruskan rutin kehidupan kita seperti biasa selepas tamatnya PKP.