Artikel

Malaysia Sahut Seruan WHO, Melaksanakan 6 Tindakan Utama Perangi Covid-19

Setakat 26 Mac, seramai 1,796 pesakit di Malaysia telah disahkan positif Covid-19. Secara global, lebih 400,000 kes positif virus dicatatkan, dengan kadar kematian melebihi 20,000 pesakit.

Angka ini jelas menunjukkan dunia perlu melakukan tindakan drastik bagi menangani penularan virus yang lebih besar.

Menurut taklimat yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam (25 Mac), Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru semua negara yang telah memperkenalkan langkah-langkah pengawalan untuk mempraktikkan enam (6) tindakan utama yang telah mereka bincangkan.

Adakah Malaysia bersedia dengan 6 saranan WHO? Berikut adalah analisis kami:

Pertama – Memperluaskan, melatih dan menggunakan tenaga penjagaan kesihatan dan tenaga kerja kesihatan awam

Untuk saranan pertama WHO ini, Malaysia sedang mengalami kekurangan pekerja dan kakitangan awam di barisan hadapan.

KKM telah memanggil semula bekas jururawat pencen untuk kembali bertugas dalam menangani isu ini.

Selain itu, kerajaan juga telah meminta bantuan hospital swasta untuk terus bersedia menerima pesakit COVID-19 sekiranya hospital kerajaan dilimpahi pesakit.

KKM telah menyatakan dengan jelas bahawa tahap kesediaan kakitangan KKM berada pada tahap memuaskan.

Tetapi, KKM juga memberitahu awam bahawa kekurangan fasiliti, katil, dan tempat wad pada waktu ini akan menjadi sesuatu yang kritikal jika wabak ini terus menular.

Kedua – Melaksanakan pencarian bagi suspek kes di dalam komuniti negara

Setakat ini, KKM telahpun menyatakan bahawa Klinik Kesihatan kerajaan merupakan kontak point pertama bagi masyarakat setempat membuat ujian. Ini memadai bagi kami, tetapi kuantiti ujian perlu dipertingkatkan lagi, bukan sahaja lokasi di mana ujian boleh dilakukan.

Buat masa ini, KKM menyatakan bahawa negara ini membuat ujian COVID-19 sebanyak 6,000 kes sehari.

KKM berkata ini akan meningkat menjadi 16,000 kes sehari, menjelang 1 April 2020.

Menurut kajian KKM, walaupun ini masih tidak capai angka seperti di Korea Selatan, iaitu ujian sebanyak 20,000 kes sehari, peningkatan ujian di Malaysia boleh membantu kerajaan untuk mencari kes-kes positif di peringkat kampung, dan mukim.

Ketiga – Meningkatkan Keupayaan dan ketersediaan ujian

Dari segi kesihatan sebelum ini, KKM akan membuat ujian saringan Covid-19 ke atas individu yang menunjukkan simptom virus sahaja.

Namun, untuk menangani isu ini pihak KKM telah bersetuju untuk membuat saringan ke atas individu yang tiada simptom. Ini khususnya buat kontak terdekat pesakit positif Covid-19.

Untuk makluman pembaca, KKM telah menjalankan ujian makmal dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR). Teknik ini bertujuan mengesan jangkitan Covid-19 yang terdapat dalam tubuh badan pesakit.

Keempat – Mengenal pasti, menyesuaikan dan melengkapkan kemudahan yang anda akan gunakan untuk merawat dan mengasingkan pesakit

Malaysia telah menyediakan beberapa hospital sebagai ‘hospital admission’, iaitu hospital yang sedia menerima pesakit COVID-19 di setiap negeri.

Pada setiap hospital ini, khemah-khemah telah disediakan di hadapan premis berkenaan.

Ini adalah untuk memastikan pesakit boleh diasingkan, dan diberi rawatan secara klinikal dengan pantas dan terasing dengan pesakit-pesakit lain.

Tindakan KKM berbuat demikian adalah sesuatu yang sangat bagus, dan perlu dipuji. Ini berketetapan dengan saranan WHO yang memberikan guideline untuk berbuat demikian.

Namun demikian, setakat ini, KKM boleh menampung keperluan dan permintaan pesakit.

Isu akan timbul jika penambahan pesakit akan bertambah secara mendadak, sehinggakan hospital-hospital ini tidak lagi mampu menampung keperluan dari pesakit.

Dengan sebab itu, PKP adalah amat penting untuk ‘memperlahankan’ kadar jangkitan.

Jika ramai orang akan dijangkiti COVID-19, tetapi mereka dijangkiti dalam tempoh yang berjauhan antara satu sama lain, ini membolehkan hospital di negara kita terus dapat menampung keperluan pesakit pada bila-bila masa.

Sekiranya PKP tidak wujud, maka ramai orang akan dijangkiti dalam tempoh yang singkat, memaksa mereka semuanya perlu dirawat di hospital pada masa yang sama, menyebabkan hospital dilimpahi pesakit dan dibebani keperluan pesakit.

PKP penting untuk keselamatan semua rakyat negara kita.

Kelima – Melakukan rancangan yang jelas dan bersedia untuk kuarantin

Malaysia ada rancangan yang jelas.

Perdana Menteri telah memberi beberapa pengumuman yang jelas, dan memberikan garis masa yang jelas.

Ini membolehkan rakyat membuat tindakan susulan yang sewajarnya, seperti pembelian pasaraya dan lain-lain.

Ini juga membolehkan polis dan tentera digerakkan ke tempat awam dengan aman dan terkawal.

Isunya adalah sekiranya PKP perlu dilanjutkan selepas 14 April ini, adakah kerajaan sedia mengambil tanggungjawab untuk memberi makanan kepada mereka yang memerlukannya? Sehingga kini, tiada apa-apa pengumuman dari kerajaan berkenaan isu ini. Yang diumumkan setakat ini adalah pemberian makanan kepada mahasiswa yang ‘terperangkap’ di universiti masing-masing.

Keenam – Fokus Kerajaan bagi menangani dan mengawal penularan Covid-19 ini

Malaysia sangat fokus dalam menangani COVID-19.

PM Muhyiddin telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada semua rakyat Malaysia, bermula 18 Mac lalu. Perintah ini telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Kerajaan juga turut menyekat segala kemasukan warga asing ke Malaysia.

Tindakan ini adalah untuk memperlahankan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat negara.

Seterusnya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kerajaan turut mengerakkan petugas Angkatan Tentera Malaysia  (ATM) untuk membantu PDRM mengawal pergerakan masyarakat bagi megelakkan sebarang penularan yang lebih besar.


Secara jelasnya, menerusi saranan WHO ini, menunjukkan negara Malaysia berada dalam laluan yang tepat untuk menangani wabak ini.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kerjasama daripada rakyat sendiri. Kerajaan mengatakan 95% rakyat Malaysia telah mematuhi arahan MCO yang dilakukan.

Diharapkan angka 5% lagi mampu membantu negara memerangi virus ini.