Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 25 Mac

·

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

25 MAC 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 199 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 25 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 172 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,796 kes.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 106 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, 101 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 34 memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat (4) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 19 kes.

  • Kes kematian ke-16 merupakan kes ke-1334, lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac 2020 sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020, jam 7.40 malam.
  • Kes kematian ke-17 merupakan kes ke-1251, lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif COVID-19. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 20 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 4.10 pagi.
  • Kes kematian ke-18 merupakan kes ke-1625, lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020, jam 2.00 pagi.
  • Kes kematian ke-19 merupakan kes ke-1246, perempuan warganegara Malaysia berumur 68 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 12.53 pagi.

KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tersebut.

ANGGOTA KESIHATAN DAN POTENSI JANGKITAN COVID-19

KKM mengambil maklum bahawa anggota barisan hadapan sangat komited dalam memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik kepada semua rakyat Malaysia bagi menghadapi kejadian pandemik COVID-19 ini.

Namun begitu, sehingga 25 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, dilaporkan bahawa terdapat 73 anggota kesihatan KKM yang dikesan positif COVID-19.

Berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini BUKAN disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4%) adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif COVID-19.

Untuk makluman, seramai 1,895 anggota kesihatan KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, di mana 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan TIADA yang dikesan positif.

Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan.

Adalah dipohon agar semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) untuk memaklumkan Ketua Jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri:

  • program Ijtimak di Seri Petaling dari 27 Februari 2020 sehingga 3 Mac 2020; atau
  • majlis perkahwinan pada 6 Mac 2020 di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac 2020 di Putrajaya yang dihadiri oleh anggota kesihatan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan bermula 18 Mac dan kini dipanjangkan tempoh sehingga 14 April 2020. Justeru, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar terus mengekalkan jarak sosial (social distancing) lebih dari satu (1) meter antara satu sama lain. Orang ramai digalakkan untuk melakukan aktiviti indoor bersama ahli keluarga seperti melakukan senaman.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang ramai boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall Dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat .

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia;

https://t.me/cprckkm

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa dalam  laman sesawang KKM;

http://www.moh.gov.my/index.php

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

25 Mac 2020 @ 5:00 petang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *