YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (25 Mac) telah tampil mengadakan satu sidang media Perutusan Khas Covid-19.
Ini adalah kenyataan daripada PM Muhyiddin:
Hari ini adalah hari kelapan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa. Saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini. Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat membeli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.
Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.
Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19. Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.
Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudarasaudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home.
You follow my instruction. You know that this is good for you, your family and the people around you. Your awarness and sincerity in abiding by the rules imposed by the government during this Movement Control Order period is highly commendable.
Saya tahu, bukan mudah untuk saudara-saudari duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah dengan sekelip mata.
Tetapi saya lihat ramai yang kreatif. Saya tengok di facebook, ada yang dah mula bersenam di rumah. Ada yang menggunakan skype untuk berhubung dengan rakan-rakan sekerja. Saya sendiripun menggunakan facetime untuk berbual dengan cucu saya. Maklumlah, mereka tak dapat nak berkunjung ke rumah Tok Ayah seperti biasa.
Ibu-ibu pun, kerana ada banyak masa di rumah, mencuba pelbagai resipi masakan baharu untuk hidangan seisi keluarga. Tak kurang juga para bapa yang menggunakan peluang duduk di rumah untuk bersolat jemaah dengan isteri dan anak-anak.
Ringkasnya, kita semua mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Apa pun cabaran dan dugaan yang kita hadapi, tidak sekali-kali melemahkan semangat kita untuk meneruskan kehidupan. Ya, seperti ungkapan yang sering kita dengar, when going gets tough, only the tough gets going. Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah
akan dapat mengharunginya.
Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. COVID 19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia. Kadar jangkitannya begitu cepat. Hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.
Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan COVID19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.Tujuh hari
yang lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID 19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.
Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga roh mangsa dicucuri rahmat Ilahi.
Saya diberikan taklimat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara bahawa peningkatan kes-kes positif COVID 19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya kita tidak melakukan apa-apa. Jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain. Dari satu segi perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini.
Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan langkah-langkah yang kita ambil pada masa ini sehinggalah kita berjaya mencatatkan sifar kes baharu. Pada masa ini kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu jumlahnya agak mendatar.
Kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan. Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit COVID-19. Pada masa ini 34% daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66% lagi yang masih boleh menampung pesakit. Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID 19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara.
Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan COVID 19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.
Ini bermakna, pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit COVID-19. Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar. Ini termasuk melakukan mass testing khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
Dengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian. Justeru, saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama. Just be mentally and physically prepared to stay at home for a reasonably longer period of time.
Saya telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku. Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.
Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia.
Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya.
Please stay calm and don’t panic. Eventhough we have extended the Movement Control Order, you don’t have to unnecessarily stock up on food because the supply is sufficient. I assure you that food is enough for everybody.
I know you feel burdened but I don’t have a choice. I have to extend the Movement Control Order for your own safety.
Selain itu, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya.Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.
Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Yang penting semua keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi. Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam.
Saya juga tahu bahawa dalam keadaan ini, ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan. Semalam saya telah umumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan.
InsyaAllah, pada hari Jumaat nanti saya akan umumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh. Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus-lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua.
Samada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. InsyaAllah, no one will be left behind.
Selain itu, saya juga berharap pusat-pusat pungutan zakat di setiap negeri turut memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu para asnaf yang saya percaya sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini.
Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.
Dalam mesyuarat kabinet hari ini, saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera. Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.
Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. I call upon all charity organizations in this country to rise to the occassion by helping the needy regardless of race and religion during this trying moment. The difficulties they are facing are unprecented. And I believe all of you can do something meaningful to ease their burden.
Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t. kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini.
Kepada petugas-petugas di barisan hadapan, saya doakan saudara-saudari terus cekal. Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah.
Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.
Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.
Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara.