Artikel

Buat Pertama Kalinya, Majoriti Kes Baharu Harian COVID-19 Bukan Dari Kluster Tabligh

Berikutan kenyataan media Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham mengatakan jumlah catatan kes baharu Covid-19 di negara adalah 106 kes.

Kenyataan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 Malaysia ialah 1,624 kes.

Bagaimanapun, buat pertama kalinya majoriti kes baharu yang diumumkan adalah bukan dari kluster ahli tabligh Masjid Jamek Seri Petaling itu.

Menurut kenyataan KKM hari ini (24 Mac), 43 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh. Manakala, 63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sehubungan itu, isu ini mendapat perhatian Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit, Datuk Dr. Christopher Lee.

Menerusi ciapan Twitternya beliau berkata adalah penting untuk KKM mengetahui dengan lebih lanjut dari mana kes-kes yang lain ini datang, sekiranya ia bukan dari kluster tabligh.

“Penting untuk kita ketahui dari mana 63 dari 106 kes baharu yang dicatat hari ini datang,” kata Dr. Christopher.

“Masih banyak pengesanan kontak dan kuarantin harus dilakukan. Penyebaran melalui komuniti mungkin sedang berlaku. Kesemua pesakit SARI perlu disaring,” kata Dr. Christopher, yang merujuk kepada Severe Acute Respiratory Infections (SARI), atau penyakit respiratori yang akut, atau genting.

Manakala ini pula catatan kes bagi tarikh 22 Mac dan 23 Mac 2020 yang menunjukkan purata kes Covid-19 adalah majoritinya daripada kluster tabligh:

  • 22 Mac 2020 – Sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan dan 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala, 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster.
  • 23 Mac 2020212 kes baharu yang dilaporkan dan 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala, 89 kes lagi berkaitan dengan lain-lain kluster.

Selain itu, pihak KKM telah tampil dengan data di mana, seramai 8,954 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling telah menjalani saringan. Daripada angka tersebut, seramai 986 kes (11%) didapati positif Covid-19, manakala 5,245 pula didapati negatif dan 2,704 individu pula masih lagi menanti keputusan saringan.

Meskipun, angka keseluruhan kes positif Covid-19 telah meningkat kepada 1,624 kes – setakat data hari ini. Namun, sebanyak 95% kadar pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan telah berjaya dicapai. Menerusi kadar pematuhan yang baik daripada rakyat ini, sedikit sebanyak mampu membantu barisan hadapan negara menangani wabak Covid-19.