Artikel

Ujian Rapid Test Kit Menimbulkan Keputusan Yang Meragukan, Boleh Disalah Tafsir – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian Rapid Test Kit.

Ini kerana Rapid Test tidak dapat mengesan COVID-19 dengan tepat.

PCR TEST ADALAH TERBAIK

Menurut KKM, ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan COVID-19 adalah dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription- Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Teknik PCR ini akan mengesan kehadiran virus COVID-19 yang terdapat di dalam badan pesakit.

Justeru, ujian rRT-PCR COVID- 19 yang positif bermaksud individu tersebut telah dijangkiti oleh virus COVID-19.

Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRT- PCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit COVID-19 yang berkesan.

RAPID TEST

KKM berkata ujian melalui teknik rapid test kit (RTK) yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami.

Antibodi muncul di dalam badan sekitar 5-8 hari selepas jangkitan.
Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan.

Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes COVID-19.

Justeru, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa COVID-19.

Oleh yang demikian, KKM menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat dari Pengamal Perubatan.

Ini kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.