KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
24 MAC 2020
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 24 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 183 kes.
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 24 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 106 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,624 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 106 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 43 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. 63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.
Sehingga kini, seramai 64 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 27 memerlukan bantuan pernafasan.
Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu (1) kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 15 kes.
- Kes kematian ke-15 merupakan kes ke-1519, lelaki warganegara Malaysia berumur 70 tahun. Beliau mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-703 semasa solat Jumaat). Beliau mempunyai gelaja selama seminggu iaitu demam, batuk dan kesesakan nafas untuk tiga (3) hari. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 18 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020, jam 5.35 pagi.
UJIAN PENGESANAN COVID-19
Untuk makluman, ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan COVID-19 adalah dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR). Ujian rRT-PCR yang dijalankan akan mengesan kehadiran virus COVID-19 yang terdapat di dalam badan pesakit. Justeru, ujian rRT-PCR COVID19 yang positif bermaksud individu tersebut telah dijangkiti oleh virus COVID-19. Keputusan ujian yang tepat melalui teknik RTPCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit COVID-19 yang berkesan.
Manakala ujian melalui teknik rapid test kit (RTK) yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami. Antibodi muncul di dalam badan sekitar 5-8 hari selepas jangkitan. Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan. Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes COVID-19. Justeru, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa COVID-19.
Oleh yang demikian, KKM menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat dari Pengamal Perubatan, kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihatkan orang ramai untuk berada di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. Orang ramai dinasihatkan agar terus mengekalkan jarak sosial (social distancing) lebih dari satu (1) meter antara satu sama lain. Orang ramai digalakkan untuk melakukan aktiviti indoor bersama ahli keluarga.
Untuk makluman kepada umum, janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh. Apa yang penting, adalah
kita bantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka.
Adalah dimaklumkan bahawa KKM telah menjalankan kolaborasi dengan pihak MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia. Justeru, semua
petugas barisan hadapan (frontliners) dan individu yang terkesan emosi daripada kejadian COVID-19 boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut dengan menghubungi talian berikut:
- 011-63996482 / 011-63994236 / 03-29359935
Waktu operasi bagi perkhidmatan sokongan psikososial adalah dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari. Perkhidmatan ini dikendalikan oleh petugas psikologi KKM dan sukarelawan MERCY Malaysia.
Seterusnya, sekiranya tidak sihat, orang ramai boleh menghubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi melalui pautan
berikut bagi mendapatkan khidmat rundingan:
http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus
Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian
Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN
24 Mac 2020 @ 5:05 petang