Menurut YB Dato’ Seri Hishamuddin, Menteri Luar Negeri menyatakan – Setakat ini seramai lebih 1,000 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan banyak lagi negara telah berjaya pulang ke tanah air.
Ini adalah peranan yang digalas pihak Wisma Putra bersama sokongan agensi lain bagi tangani Covid-19.
Selain itu, setakat pagi ini juga pihaknya telah berjaya membawa pulang seramai 696 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India menerusi kerjasama dengan parti Malaysian Indian Congress (MIC) dan Air Asia.
Manakala, seramai 46 orang rakyat Malaysia di Iran turut berjaya dibawa pulang dengan hasil bantuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagi rakyat negara yang berada di Itali pula, masih berada dalam rundingan bersama kerajaan Itali untuk memberi kebenaran pendaratan.
Status Terkini Bagi Rakyat Yang Terkandas Di Bangladesh
Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 367 orang rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh. Jumlah ini termasuk 219 orang pelajar yang menuntut di Bangladesh; 55 orang kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 orang yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka; dan 20 orang penjawat awam serta ahli keluarga.
Daripada jumlah ini, seramai 270 orang telah bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Segala kos penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC.