Artikel

[RENCANA] Semangat DG Noor Hisham, Beri Suntikan Keyakinan Kepada Rakyat Malaysia

Tatkala dunia disimbah dengan pelbagai konflik, wajah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Noor Hisham ini adalah sesuatu yang sering dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bermula, setiap hari, sekitar jam 5 petang, beliau akan memberi angka terkini pesakit yang telah pulih, jumlah pesakit terbaharu, dan lebih sayu lagi, mendengar angka kematian yang terkini.

Kesemuanya disebabkan kesan penularan wabak COVID-19.

Malah, bukan sahaja suara beliau yang memberi satu semboyan fakta kepada Malaysia, namun kehadirannya juga memberikan keyakinan kepada rakyat jelata bahawa petugas KKM tetap terus berjuang dibawah naungan kerjasama rakyat. 

Namun siapakah sebenarnya DG Noor Hisham ini?

Beliau adalah salah seorang graduan Ijazah Sarjana dalam Pembedahan dan Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau telah memulakan karier selaku Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sejak tahun 2013 lagi. 

DG Noor Hisham juga merupakan pakar dalam pembedahan endokrin dan yang diamalkan di universiti-universiti Australia. Sejak itu, beliau telah menerbitkan pelbagai artikel dalam jurnal perubatan tersebut. 

Beliau kini berkhidmat di KKM, jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sebagai Eksekutif Menteri di bawah Timbalan Menteri. 

Malah, beliau turut dipertanggungjawabkan ke atas semua Jabatan Kesihatan di pelbagai negeri, termasuk jawatan Timbalan Ketua Pengarah.

Sebelum ini beliau telah berkhidmat dengan tiga Menteri Kesihatan yang berbeza iaitu Datuk Seri Dr. S. Subramaniam Sathasivam (2013-2018), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (2018-2020), dan kini Datuk Seri Dr Adham Baba (2020-sekarang).

Buat masa ini, pihak KKM sedang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi penularan wabak COVID-19 di dalam negara.