KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
23 MAC 2020
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 159 kes.
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 23 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 212 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,518 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 212 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
Sehingga kini, seramai 57 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 27 memerlukan bantuan pernafasan.
Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat (4) kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 14 kes.
- Kes kematian ke-11 merupakan kes ke-1070 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Beliau disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020.
- Kes kematian ke-12 merupakan kes ke-1114 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau merupakan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petalingdan dirawat di Hospital Kluang. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.
- Kes kematian ke-13 merupakan kes ke-1006 berumur 49 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak merupakan anak kepada kes ke1031. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.
- Kes kematian ke-14 merupakan kes ke-595 berumur 51 tahun perempuan warganegara Malaysia. Beliau merupakan kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.
BEKALAN PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT (PPE) UNTUK KEGUNAAN ANGGOTA KESIHATAN
Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan PPE kini merupakan satu isu global. Pihak KKM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan. Oleh itu, pihak KKM telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan bekalan PPE yang mencukupi untuk setiap fasiliti kesihatan melalui penyelarasaan pembekalan bersama Jabatan Kesihatan Negeri.
Sehingga kini, pihak KKM telah berjaya memperolehi stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini. Selain daripada itu, pihak kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah 3 juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti-fasiliti kesihatan mengikut keperluan. Pihak KKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan mereka.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Mengambil kira situasi semasa, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM. Setiap rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Walaupun di rumah, orang ramai diminta untuk memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang optimum dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory dan ikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi melalui pautan berikut bagi mendapatkan khidmat rundingan:
http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus
Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN
23 Mac 2020 @ 5:30 petang