Menerusi sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob – beliau mengumumkan status kedudukan pengawalan pergerakan terkini.
Menurut DS Ismail, setakat ini kadar pematuhan arahan bagi PKP telah meningkat kepada 92%. Kadar ini dilihat amat positif. Namun, pihaknya tidak akan mengambil mudah bagi 2.5 juta rakyat negara yang masih ingkar akan arahan ini.
Malah, sebanyak 1903 buah sekatan telah diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) bagi memantau perjalanan rakyat.
Bagaimanapun, masyarakat dilihat masih gagal melaksanakan penjarakan sosial. Pemerhatian ini dilakukan pada kawasan pembelian barangan serta sewaktu mereka menaiki kenderaan.
Selain itu, mesyuarat dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bahawa bekalan makanan untuk keperluan rakyat Malaysia adalah lebih daripada mencukupi.
Sektor-sektor terlibat dalam industri makanan masih beroperasi seperti biasa bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi.
Bagi status penoreh getah pula, Kerajaan telah mengarahkan supaya Pusat Membeli Getah beroperasi seperti biasa. Jika ada yang gagal berbuat demikian, Kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas.