Artikel

Satu Kes Positif Di Menara Bank Islam

Bank Islam mengesahkan bahawa salah seorang warga kerjanya di Menara Bank Islam telah diuji positif untuk COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Beliau dan keluarga terdekatnya berada di bawah kuarantin di rumah sejak 19 Mac 2020, mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan Bank Islam untuk COVID-19.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Bank Islam telah menjalankan pensterilan dan pembasmian kuman menyeluruh di Menara Bank Islam hari ini, termasuk ruang-ruang kemudahan umum.

Bank itu juga sedang giat mengesan individu-individu yang berhubung secara langsung dengan warga kerja terbabit untuk dikenal pasti dan memaklumkan bahawa mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin di rumah.

“Pihak Bank telah mengambil langkah-langkah sewajarnya serta meningkatkan lagi kesedaran dengan lebih kerap sejak penularan wabak ini. Saya ingin menekankan kepada semua pelanggan bahawa kesemua premis kami adalah bersih dan selamat setelah kerja-kerja sanitasi dilaksanakan,” kata Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam.