Menurut kenyatan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini negeri tersebut telah merekodkan dua (2) lagi kes kematian akibat COVID-19.
Dua orang mangsa ini merupakan ibu dan anak perempuan dari satu keluarga yang sama, yang masing-masing berumur 79 dan 40 tahun.
Mangsa pertama keluarga ini telah meninggal dunia pada jam 2 pagi 18 Mac 2020, manakala mangsa kedua telah meninggal pada jam 1 petang 21 Mac 2020. Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.
Pelaporan kes kematian yang pertama akibat COVID-19 dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang telah dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur.
Sarawak hari ini mencatatkan pertambahan sepuluh (10) lagi kes baharu Positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes disyaki dan disahkan COVID-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran dengan kadar segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan.