Menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), susulan keputusan Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020, sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mula menghadapi kesulitan.
Antara kesulitan yang dihadapi mereka ialah tidak dapat berulang alik dari Johor untuk bekerja. Selain itu, menurut laporan media yang tular semalam, mereka juga didakwa berdepan kesukaran untuk mendapatkan tempat penginapan, sehingga ada di antara mereka yang terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura.
Berikutan itu, pihak kerajaan memandang serius isu ini. Menerusi kerjasama Malaysian Association in Singapore (MASIS) serta pihak berkuasa Singapura sedang giat mengenalpasti kesemua rakyat Malaysia di Singapura yang terbabit dalam permasalahan ini.
Kementerian Luar Negeri telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Singapura telah menyediakan kemudahan sementara di Jurong East Sports Complex, sementara majikan mereka mendapatkan kediaman yang sesuai. Tinjauan yang dijalankan mendapati bahawa terdapat rakyat Malaysia yang telah mendapatkan penempatan sementara di Jurong East Sports Complex tersebut.
Pihak kerajaan menggesa rakyat Malaysia di Singapura yang mengadapi masalah penginapan atau sebarang bentuk kerumitan, supaya segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.
Ia amat penting bagi membolehkan Perwakilan negara menghulurkan bantuan.