Artikel

[RENCANA] Majikan Perlu Beri Kerjasama Dalam Memerangi Covid-19

Baru tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan dan masih ada segelintir rakyat yang enggan menurutinya.

Namun, saya tidak mahu bercakap mengenai golongan yang enggan mematuhi PKP ini tetapi satu lagi golongan yang menyukarkan rakyat untuk mematuhi PKP ini – Majikan yang bukan dalam sektor perkhidmatan penting.

Sebelum itu, ingin saya tekankan di sini bahawa walaupun secara umumnya, kita faham mengenai konsep kerugian bagi majikan yang terpaksa menanggung kos operasi pada PKP ini.

Namun, dalam keadaan ketika ini, kerugian bukanlah alasan yang baik untuk mengekalkan operasi ketika PKP.

Majikan wajib membayar gaji penuh kepada pekerja sepanjang tempoh PKP selaras dengan soalan lazim yang dikeluarkan
Kementerian Sumber Manusia.

Dalam senarai soalan lazim itu, Kementerian telah memaklumkan majikan yang enggan membayar gaji pekerja sepanjang tempoh PKP boleh diadu secara dalam talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Sementara itu, pekerja bergaji harian perlu dibayar mengikut kadar upah yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan.

Selain itu, pihak majikan juga tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sepanjang tempoh PKP.

Bagi pekerja yang bekerja dari rumah, majikan masih perlu membayar gaji seperti biasa.

Jika peraturan ini dilanggar, pihak yang bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, saya amat berharap agar semua rakyat, termasuk Majikan, memahami cabaran yang dihadapi dan membantu negara dalam usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.