Artikel

Tiada Pemotongan Bekalan – TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan tiada pemotongan bekalan tenaga dilakukan.

Pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dengan memastikan penjanaan tenaga oleh stesen-stesen janakuasanya beroperasi dengan lancar, kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

“Selain penjanaan, warga kerja teknikal TNB yang terlibat secara langsung dalam klasifikasi perkhidmatan kritikal juga bekerja bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil,” katanya.

Mereka termasuklah anggota kerja teknikal di bahagian grid serta pembahagian elektrik, kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan.

Bahagian kritikal lain yang turut beroperasi adalah perkhidmatan pelanggan TNB CareLine, kawalan keselamatan dan fasiliti janakuasa bergerak. Beliau turut memaklumkan bahawa semasa tempoh PKP, aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan.

Manakala pembacaan meter TNB dan operasi Kedai Tenaga di seluruh negara juga dihentikan untuk menjaga kepentingan orang awam dan warga kerja TNB terlibat.

Untuk sebarang urusan transaksi, pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan applikasi myTNB.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454, Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB.