Artikel

SC, Bursa, MAAM – Pasaran Kekal Terbuka

Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bursa Malaysia dan Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM) telah mengeluarkan kenyataan menentang cadangan yang dibuat oleh Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) untuk menggantung dagangan saham di Bursa Malaysia.

SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama berkata adalah penting bagi pasaran untuk terus terbuka, kerana penutupan pasaran tidak akan mengurangkan atau menangani punca kemeruapan pasaran. 

Operasi pasaran akan dikekalkan, perihal ini untuk memudahkan pelabur menguruskan risiko dan peluang mereka dalam tempoh ini.

Menurut laporan StarBiz, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie, mengatakan apa-apa tindakan penggantungan pasaran saham akan menyebabkan kerosakan sebenar pelaburan di Bursa dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

Ini kerana ia dapat memberikan isyarat yang salah bahawa pasaran Malaysia tidak bebas dari campur tangan kerajaan dan menghalang perdagangan pasaran.

Lee menegaskan bahawa pelabur akan terus berdagang meskipun pasaran berada dalam situasi yang tidak menentu.

Tambahnya lagi, penggantungan atas sebab-sebab tertentu adalah sama seperti ‘kawalan modal’ dan mengembalikan stigma pelabur kepada Malaysia sewaktu Krisis Kewangan Asia 1997 – 1998.

Manakala pengawalselia dalam kenyataan bersama berkata penutupan pasaran sebaliknya akan menimbulkan ketidakpastian dan sentimen pasaran yang lebih buruk dengan menafikan akses pelabur terhadap pelaburan mereka.

SC dan Bursa memiliki strategi untuk mengendalikan pasaran dalam keadaan pandemik ini.

Pihaknya akan terus memantau perkembangan bagi menguruskan risiko secara aktif di pasaran dan akan memperkenalkan langkah-langkah pencegahan tambahan yang bersesuaian.

Kenyataan ini adalah sebagai tindak balas kepada kenyataan ASCM yang ingin pasaran saham digantung.