Artikel

Berikut Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Tentang Covid-19

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

19 Mac 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 15 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 75 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 19 Mac 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 110 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 900 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 110 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 63 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, yang antara lain melibatkan larangan menyeluruh pergerakan bagi membendung penularan wabak jangkitan COVID-19 di Malaysia. Selama tempoh ini, orang ramai diminta untuk berada di rumah. Justeru, KKM ingin menasihatkan orang ramai mengenai perkara-perkara berikut bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum diperolehi:

  1. Mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ini termasuk sentiasa mengamalkan cara pemakanan yang sihat, aktif secara fizikal, tidak merokok di dalam rumah dan sentiasa tenang serta mengamalkan pengurusan stres yang positif.
  2. Memastikan makanan yang dibeli berada dalam keadaan baik dan tidak melangkaui tarikh luput. Makanan yang sudah rosak boleh menyebabkan keracunan makanan.
  3. Bagi orang awam yang mempunyai penyakit kronik, pastikan bekalan ubat mencukupi dan teruskan mengambil ubat-ubatan mengikut jadual.
  4. Melakukan pembersihan persekitaran di kediaman dan premis masing-masing termasuklah aktiviti disinfeksi.

Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi melalui pautan berikut: http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus

Orang awam juga boleh menghubungi talian Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.