Artikel

ASCM Gesa Kerajaan Gantung Bursa Malaysia Buat Sementara Waktu

Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) menggesa Kerajaan Malaysia untuk menggantung perdagangan Bursa Malaysia Securities sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengerusi ASCM, Dato’ Dr Azman Manaf menyifatkan gesaan badan ini adalah untuk memastikan keadaan pasaran modal negara harus diberi sokongan yang memadai.

Beliau berkata penutupan FBM KLCI pada 1,239.01 mata pada hari Rabu (19 Mac) menunjukkan bahawa ia telah susut lebih 28% dari akhir Disember 2019, yang mencecah 1,588.76 mata.

Bursa saham di seluruh dunia telah merosot, termasuklah Wall Street mencatatkan angka terburuk.

Manakala, pasaran saham Malaysia pula telah mengalami penurunan 23% dalam pasaran modal daripada RM1.04 trilion pada 31 Disember 2019 kepada RM804.63 bilion pada 18 Mac 2020.

Beliau berkata China menggantung Bursa Saham Shanghai dan Shenzhen di tengah-tengah pergolakan kewangan, manakala di Filipina mereka menggantung bursa sahamnya pada Selasa (18 Mac), sekaligus menjadikan negara pertama yang menggantung perdagangan sahamnya sebagai tindak balas kepada wabak koronavirus yang semakin meluas.

Menerusi penggantungan Bursa Malaysia, semua peserta pasaran saham, iaitu pelabur, pemain pasaran, dana (KWSP, LUTH, LTAT, PNB), bank pelaburan broker, pelabur asing dan pengurus dana, dapat memanfaatkan masa dan kelonggaran untuk memupuk kembali portfolio strategik dan perdagangan mereka, serta mengelakkan pembubaran dan kekukuhan jualan akaun.