Artikel

[RENCANA] Duduk Rumah Jika Kita Mahu Lawan Covid-19

Minggu ini merupakan antara minggu yang sangat mencabar bagi rakyat Malaysia.

Ini kerana kita semua berdepan penularan Covid-19 yang semakin hari semakin serius di negara kita.

Melihat kepada graf kadar kes baharu Covid-19 di Malaysia, kita sudah mencapai kenaikan 3 digit setiap hari sejak Ahad.

Oleh itu, keputusan Kerajaan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu tindakan yang tepat dengan keadaan yang sedang kita hadapi.

Namun, saya agak kecewa dengan respon segelintir rakyat Malaysia yang tidak mengambil endah perintah yang dikeluarkan.

Antara contoh sikap tersebut termasuk mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan beratur beramai-ramai untuk membuat pembelian, tidak kisah sama ada pembelian panik atau tidak.

Untuk usaha membendung Covid-19 ini berjaya, kita sebagai rakyat perlu memutuskan rangkaian jangkitan.

Bagaimana untuk kita putuskan rangkaian jangkitan ini?

Mudah. Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Kesemua larangan dan arahan dibuat bertujuan untuk memutuskan rangkaian jangkitan ini seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu malam.

Jika ini tidak dipatuhi, pakar kesihatan awam menjangkakan lebih 50 peratus rakyat Malaysia berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut.

Daripada jumlah jangkitan tersebut pula, dijangka 2 hingga 3 peratus mungkin berdepan risiko kematian.

Ini menjadikan kemungkinan ratusan ribu rakyat Malaysia boleh menjadi mangsa kepada Covid-19.

Oleh itu, sekali lagi saya ulang, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan jika kita tidak mahu risiko jangkitan Covid-19 menjadi lebih teruk.

Diharap dengan kerjasama semua rakyat Malaysia, penularan Covid-19 dapat dibendung dan kita dapat kembali kepada kehidupan seperti biasa tanpa kerisauan ini.