RHB Bank dan RHB Islamic Bank kini menawarkan saluran bantuan melalui program moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran bulanan secara ansuran, penstrukturan semula atau penjadualan semula (R&R) pinjaman dan pembiayaan kepada para pelanggan yang terjejas disebabkan Covid-19.
Menurut RHB, program ini telah mula dilaksanakan sejak 11 Februari 2020 – ini bertujuan bagi meringankan bebanan perniagaan dalam situasi mencabar ini kepada PKS dan isi rumah.
Setakat ini, pihaknya telah menerima 119 permohonan daripada pelanggan seluruh segmen dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.15 bilion.
Manakala, telah mengenal pasti 168 pelanggan PKS dalam sektor-sektor penting seperti pelancongan dan bekalan makanan untuk keperluan bantuan kewangan.
Selain itu, sebagai tambahan kepada sokongan platform bantuan RHB ini, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan kemudahan bantuan berjumlah RM2 bilion. Ia di bawah Dana BNM kepada PKS.
Sehingga kini, 135 permohonan telah diterima dengan jumlah pembiayaan lebih RM100 juta.
Nilai tersebut akan digunakan untuk modal kerja bagi membantu PKS dalam mengurangkan masalah aliran tunai untuk tempoh jangka pendek.
Dana ini terdiri daripada 3 komponen, iaitu Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan AgroFood (AF) bagi meningkatkan pengeluaran makanan dengan peruntukan RM1 bilion. Manakala, Automasi dan Kemudahan Digitalisasi SME (ADF) pula adalah untuk warga PKS diperuntukkan sebanyak RM300 juta.
Untuk maklumat lanjut berkenaan permohonan atau makluman tarikh akhir, pembaca boleh menghubungi talian RHB di 03-92068118.