Artikel

Hubei mencatat kosong kes baharu COVID-19 buat pertama kalinya sejak wabak ini bermula

Wilayah Hubei, negeri di China yang merupakan tempat permulaan penyebaran koronavirus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 telah mencacat kosong kes baharu buat pertama kalinya dalam tempoh dua bulan ini.

Wuhan adalah ibu negeri Hubei.

Ini sekaligus memberi isyarat bahawa cara kawalan kuarantin di negeri itu adalah efektif dan pengawalan telah memberi impak positif terhadap mengawal penyebaran patogen ini.

Sehingga kini, terdapat lebih 81,000 kes COVID-19 telah dicatat di China, dan kebanyakannya tertumpu di Wuhan secara khusus, dan wilayah Hubei secara amnya.

Seluruh penduduk di Hubei, yang berjumlah 60 juta orang, masih berada di dalam keadaan Perintah Berkurung.

Pakar WHO telah menyatakan bahawa ‘gelombang kedua’ di dunia sedang berlaku.

Walaupun berita ini merupakan sesuatu yang positif, kes import di dalam China masih sedang berlaku.

Pada 18 Mac, terdapat 34 kes baharu dilaporkan di China, dan kesemuanya adalah kes import, iaitu orang luar membawa masuk COVID-19 ke dalam China.

Zhong Nanshan, pakar Penyakit Berjangkit di China dilaporkan berkata negara itu tetap kena berjaga-jaga terhadap orang yang masuk ke dalam China.

“Orang yang memasuki negara ini (China) harus kena diawasi kerana ramai yang telah dijangkiti COVID-19 tidak akan menunjukkan simptom sakit pada awalnya, dan pihak berkuasa tetap harus melaksanakan langkah-langkah kuarantin terhadap kumpulan ini,” kata Zhong Nanshan.

Di peringkat global, seramai 211,000 orang telah sah positif COVID-19.

Di Malaysia, jumlah terkumpul kes positif setakat 18 Mac adalah 790, dan sekitar 60 kes telah pulih dan telah discas dari hospital dan pulang ke rumah.