YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (18 Mac) telah tampil mengadakan satu sidang media Perutusan Khas Covid-19.
Dalam sidang ini, beliau memberi penjelasan berkenaan tujuan Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan.
Beliau menjelaskan tindakan kawalan ini dilakukan adalah untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan pada kesihatan negara.
Makluman terkini terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID 19 sebanyak 790.
Menerusi tindakan ini, negara perlu menghalang rantaian jangkitan Covid-19 daripada terus menular.
PM Muhyiddin turut menggesa rakyat Malaysia untuk mematuhi arahan yang telah ditetapkan bagi tempoh selama 2 minggu ini.
Jika seluruh rakyat Malaysia mematuhi peraturan tersebut, pasti mereka mampu menghindari dari sebarang jangkitan wabak.
Katanya, “Tinggallah dirumah dan lindungilah diri anda bersama keluarga anda.”
Beliau turut merayu kepada rakyat Malaysia untuk kekal berada di kediaman masing-masing bagi tempoh 2 minggu ini sahaja. Tidak perlu pulang ke kampung atau bercuti di tempat peranginan.
Sekiranya dalam tempoh kawalan ini negara masih tidak berjaya membendung jangkitan wabak, berkemungkinan besar Kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh kawalan.
Oleh itu, adalah amat penting untuk semua rakyat mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus Covid-19.