Artikel

Berikut Kenyataan Media Menteri Kesihatan Tentang Situasi Semasa Covid-19

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

18 MAC 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 18 Mac 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 117 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 790 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 15 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Mac 2020, satu warta  telah dikeluarkan [P.U.(A) 87 bertarikh 17 Mac 2020] memaklumkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan dengan itu juga, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan [P.U. (A) 91 bertarikh 18 Mac 2020]. Peraturan ini menjelaskan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 ATAU dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 7 (1) di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin memaklumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pengerakan, TIADA pelawat dibenarkan masuk ke dalam wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan. Dalam tempoh ini juga, jika diperlukan, HANYA SEORANG (1) peneman sahaja dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk  pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan.

Semasa di rumah, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).

Orang awam juga perlu mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik di rumah mahupun di luar iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu atau pelapik apabila batuk mahu pun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta.

Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory atau talian CPRC yang beroperasi dari pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.