Artikel

MITI: Ini Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Syarikat Industri Pembuatan Negara

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak Industri pada 17 Mac 2020.

Antara yang terlibat dalam perbincangan ini adalah Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) dan The Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM) yang mewakili industri pembuatan negara. 

Setelah mengambil kira beberapa aspek, Kerajaan telah memberikan kelulusan untuk beroperasi dengan syarat-syarat tertentu kepada pihak industri pembuatan yang berkenaan, terutamanya yang mengeluarkan produk-produk yang ditakrifkan sebagai kritikal.

Syarikat yang diberi kelulusan, wajib untuk mengikuti penetapan yang telah dipersetujui:

  • Sewaktu beroperasi dalam tempoh kawalan ini, syarikat perlu mengurangkan penggunaan tenaga kerja kepada tahap paling minima atau 50% daripada jumlah semasa.
  • Syarikat hendaklah mewujudkan sistem bekerja dari rumah – bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti pengilangan kritikal.
  • Syarikat perlu memenuhi permintaan dan keperluan produk keluaran bagi pasaran setempat.
  • Syarikat perlu mengemukakan kepada MITI senarai nama pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dilakukan dan perlu memastikan pergerakan pekerja hanya terhad kepada rumah dan permis kilang.
  • Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan, dan mengambil bacaan suhu badan pekerja pada setiap hari di pintu masuk kilang/premis. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk rujukan.
  • Sekiranya suhu badan didapati melebihi paras biasa, syarikat hendaklah menghubungi Pejabat Kesihatan atau Hospital Kerajaan terdekat.
  • Semua pekerja hendaklah mematuhi prosedur pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh KKM yang dikeluarkan dari masa ke semasa.
  • Syarikat hendaklah menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan tempat-tempat lain yang berkaitan dalam kilang/premis, serta memastikan pemakaian face mask oleh setiap pekerja.
  • Proses sanitasi dan pembersihan perlu dilaksanakan tiga (3) kali sehari terutamanya di kawasan umum (common spaces) seperti lobi, lif, cafeteria, bilik-bilik mesyuarat, surau, bas/pengangkutan pekerja dan pusat rekreasi tertutup.
  • Syarikat hendaklah menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman di kilang/premis sebelum setiap shift atau operasi bermula.
  • Syarikat hendaklah memastikan kenderaan pekerja telah menjalani proses sanitasi dan pembasmian kuman setiap kali sebelum digunakan. 
  • Syarikat hendaklah memastikan garis panduan amalan terbaik social distancing disediakan dan dilaksanakan khususnya di kawasan-kawasan pengeluaran fasiliti kafeteria/kantin; bilik-bilik mesyuarat; surau dan dewan serba guna
  • Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti COVID-19, syarikat adalah bertanggungjawab menanggung sepenuhnya semua kos perubatan, proses nyah cemar premis, dan lain-lain kos yang berkaitan.
  • Kerajaan ingin menegaskan bahawa kelulusan ini boleh dibatalkan dan ditarik balik, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh pihak syarikat/industri.
  • Kerajaan berhak untuk meminda syarat-syarat di atas tertakluk kepada situasi semasa.