Artikel

Tambak Johor Sunyi, Sehari Selepas Ribuan Merentasinya

Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang berkerja dan berulang-alik ke Singapura telah terkesan berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Pada malam Isnin (16 Mac), Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin berkata, semua rakyat Malaysia akan dilarang meninggalkan negara ini. Mereka yang pulang dari luar negara juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin diri selama 14 hari. 

Setelah pengumuman tersebut dilakukan, pekerja Malaysia telah mula mengambil tindakan dengan bermaustatin selama 2 minggu di Singapura.

Menurut laporan CNA, rata-rata pekerja yang terkesan, meluahkan rasa gusar mereka. Sekiranya mereka tidak berbuat sedemikian, mereka bakal kehilangan pekerjaan. 

Tindakan ini dilakukan sebelum Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi kata putus, bahawa rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura tidak dibenarkan memasuki negara tersebut, bermula 12 tengah malam semalam.

Lebih 40 anggota Polis Johor ditempatkan pada pintu masuk darat bagi mengawal aktiviti keluar masuk, penglibatan ini merangkumi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) – Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).