Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali telah memohon maaf, bagi pihak urusetia Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri pada 17 Mac.
Menurut Datuk Seri Zuki, jemputan yang dikeluarkan adalah hanya untuk Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dari Parti Komponen Kerajaan Persekutuan.
Bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan juga Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri sahaja yang dijemput hadir.
“Sekali lagi ditegaskan, bahawa YAB Perdana Menteri memandang serius tentang perkara ini, dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik…” kata Zuki.
“…Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan COVID-19 pada masa akan datang,” tambah beliau lagi.
Isu ini timbul apabila Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, dan Sabah tidak dijemput hadir kepada mesyuarat khas ini, yang bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
Najib Tegur
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pandangan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah tidak wajar.
Sebagai perbandingan, beliau telah bekerjasama dengan Menteri Besar Kelantan pada tahun 2014, di mana beliau telah bertemu dengan Ahmad Yakob untuk menyelesaikan isu banjir pada waktu itu.
Selain daripada ini, beliau juga telah bekerjasama dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada tahun 2017 untuk menyelesaikan isu bencana di sana.