Artikel

YDPA menyeru rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan, nasihat semua kekal tenang

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini menyeru semua rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini. Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Dato’ Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda amat prihatin dengan perkembangan terkini berikutan 125 kes terbaharu semalam dengan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes.

“Seri Paduka Baginda amat memandang serius terhadap jumlah peningkatan jangkitan baharu di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada Kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan COVID-19,” katanya.

Katanya, Seri Paduka Baginda sedar bahawa rakyat mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Namun, kita perlu faham dan bersabar kerana Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga situasi ini menjadi lebih meruncing untuk mengambil tindakan yang drastik.

“Selaku Ketua Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru supaya rakyat Malaysia, dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu Kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini dengan cepat dan berkesan.”

Dato Ahmad Fadil turut menyataan bahawa Seri Paduka Baginda menggesa rakyat menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta pertanyaan untuk mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan di kalangan rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan penghargaaan dan terima kasih kepada Kerajaan, di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan agensi-agensi Kerajaan serta kepada wira-wira yang tidak didendang, khususnya semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah mengorbankan masa bertungkus lumus di atas usaha-usaha dan tindakan untuk memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat bersama-sama Baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya usaha-usaha kita ini dirahmati dan diberkati agar situasi COVID-19 dapat ditangani dan berakhir dengan segera, In Shaa Allah.”