Artikel

Kesan Perintah Kawalan Pergerakan, Pekerja Dipaksa Cuti Tanpa Gaji

YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (16 Mac) telah mengumumkan bagi pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, kumpulan ini akan diberi bantuan kewangan sejumlah RM600 setiap bulan sehingga enam bulan.

Pekerja yang layak adalah mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dan merupakan penyumbang kepada skim Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).

Susulan itu, sesetengah syarikat dan bahagian pelancongan dilaporkan telah mula memaksa para pekerja mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji dalam tempoh dua minggu ini.

Perihal ini diperlakukan kepada sektor yang tidak penting di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut laporan The Star, seorang pekerja pelancongan yang hanya ingin dikenali sebagai Chew, berkata dia baru dimaklumkan oleh eksekutif pengurusannya bahawa dia perlu mengambil cuti tanpa gaji.

“Mereka hanya memaklumkan kepada saya bahawa saya perlu cuti tanpa gaji sehingga 31 Mac.”

Tindakan ini secara tidak langsung mengejutkan Chew, dia berasa tidak adil kerana tidak diberitahu lebih awal dan perlu memikirkan kerugian yang perlu ditanggung untuk akhir bulan kelak.

Sementara itu, sebuah agensi kreatif reka bentuk web di Pulau Pinang telah mengarahkan 12 kakitangannya untuk kekal bekerja dari rumah sahaja.

Pengarahnya Warren Tan berkata beliau akan membayar pekerjanya, tetapi mereka perlu bekerja dari rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan ini berlangsung.

Bagi Warren, adalah tidak adil untuk dia memaksa pekerjanya bercuti tanpa gaji. Syarikat perlu lebih memahami keadaan pekerja dan perlu bertindak lebih adil bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar.