Ini Adalah Soalan Lazim Bagi Perintah Kawalan Pergerakan

Written by Liyana · 3 min read

Berikutan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (16 Mac), kini Kerajaan Malaysia telah menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Ini adalah soalan lazim mengenai Perintah Kawalan Pergerakan tersebut:

Apakah Nama Perintah?

  • Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order)

Bilakah Tempoh Masa Perintah ini?

  • Berkuat kuasa dari 18 Mac – 31 Mac 2020

Kuatkuasa Undang-undang

  • Perintah ini berpandukan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967

Apakah Kandungan Arahan Perintah ini?

  • Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya
  • Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara
  • Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara
  • Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti
  • Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara
  • Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services)

Adakah Majlis Keraian/ Perkahwinan/ Kenduri atau sebagainya boleh diadakan?

  • Upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai. Bagi Majlis Persandingan dan Resepsi serta majlis lain, disarankan untuk ditangguhkan sehingga isu penularan COVID-19 di Malaysia tamat.

Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 – 31/3/2020?

  • Tidak. Perintah ini berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?

  • Ya.

Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?

  • Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?

  • Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

Saya merupakan pemegang pas jangka masa panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum Perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?

  • Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing – masing dan perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan untuk berulang alik ke pejabat di Singapura?

  • Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia adalah tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing – masing berkenaan perkara ini.

Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan telah membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?

  • Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang untuk pergi ke mana-mana tempat termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?

  • Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?

  • Tidak perlu.

Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?

  • Ya.

Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta khususnya pelajar luar negara?

  • Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada Perintah yang berkuatkuasa.

Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?

  • Kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.

Adakah pengangkutan awam seperti Bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?

  • Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuatkuasa.

Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?

  • Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum Perintah ini diumumkan.

Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?

  • Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

One Reply to “Ini Adalah Soalan Lazim Bagi Perintah Kawalan Pergerakan”

  1. Saya orang semenanjung, bilakah saya dibenarkan balik ke sarawak memandangkan saya kerja di sana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *