Artikel

Covid-19: Maybank Tawar Bantuan Kewangan Kepada Pelanggan Yang Terjejas

Menerusi kenyataan media, Maybank kini menawarkan bantuan kewangan kepada para pelanggan mereka yang terkesan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Bantuan ini dibuka kepada pelanggan perniagaan, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan individu yang layak. Perihal ini akan disemak berdasarkan kes pelanggan.

Bantuan ini merangkumi penstrukturan semula dalam jadual pembiayaan, serta pelanggan dibenarkan untuk membuat bayaran pinjaman balik sehingga enam bulan. 

Menurut Datuk Abdul Farid Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan – pihaknya memahami akan situasi getir yang sedang berlaku kepada negara. Oleh itu, menerusi platform bantuan ini pihaknya berharap dapat memberi kelegaan kepada pelanggan mereka mengatasi permasalahan ini.

Maybank turut mengatakan sekiranya keadaan itu berterusan, Bank akan mempertimbangkan bantuan kewangan diberi untuk tempoh yang lebih lama kepada pelanggan.