Artikel

PM Muyhiddin Umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 Diteruskan

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) di Putrajaya. 

Menurutnya, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 diteruskan bersama pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Malah, Kerajaan juga akan meneruskan dasar fiskal yang bertanggungjawab dan dasar mesra perniagaan bagi menarik pelaburan yang berkualiti. 

Pihaknya telah bersetuju dengan mengambil langkah tambahan seperti berikut:

Bantuan Kewangan Kepada Pekerja Cuti Tanpa Gaji

  • Bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap pekerja setiap bulan untuk tempoh maksimum 6 bulan;
  • Layak untuk pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020;
  • Layak untuk pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.
  • Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta.
  • Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut.

Diskaun Caj Elektrik Kepada Sektor Komersial, Perindustrian dan Pertanian

  • Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Februari 2020, kategori perniagaan yang terjejas berikutan COVID-19 terutamanya sektor pelancongan akan menerima diskaun 15% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 6 bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020.
  • Mengambil kira penularan COVID-19 menyebabkan impak yang lebih meluas, Kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun 2% bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September 2020.
  • Langkah diskaun 2% ini dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta.
  • Diskaun ini akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian.

Pembayaran Awal Untuk Bantuan Sara Hidup (BSH)

  • Seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Februari 2020, pembayaran sebanyak RM200 kepada setiap penerima BSH pada 16 Mac 2020 (diawalkan daripada tarikh asal pada Mei 2020).
  • Bayaran berjumlah RM760 juta ini akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah BSH.
  • Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020; dan
  • Bayaran tambahan bulan Mei ini melibatkan RM500 juta yang akan memanfaatkan 5 juta penerima BSH

Pelaksanaan Projek-projek Kecil RM2 Bilion

  • Projek-projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE2020 akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020.
  • Pelaksanaan ini akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara dan laporan mingguan akan diberikan kepada YAB Perdana Menteri.
  • Projek-projek ini akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.
  • Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Pekeliling berkuatkuasa 16 Mac 2020 untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50 ribu kepada RM100 ribu, dan sebut harga daripada RM500 ribu kepada RM800 ribu.

 Tindakan ini selaras dengan fokus Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi domestik kekal mampan. Sekaligus dapat meningkatkan keyakinan pelabur bagi dalam dan luar negara.