oleh Osman Jailani
Selepas dua minggu berdepan dengan ketidaktentuan politik, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menikmati sedikit ketenangan.
Kabinet sudah diumumkan. Menteri sudah mengetik masa ke pejabat masing-masing. Tumpuan kini teralih kepada masa hadapan.
Namun, Jemaah Menteri baharu ini berdepan dengan cabaran yang amat hebat. Bukan sekadar penularan COVID-19, malah keadaan ekonomi yang lemah menjadikan tugasan yang dihadapi mereka bukan sesuatu yang mudah.
Pada ketika rangsangan fiskal amat diperlukan, penurunan harga minyak pula telah menyebabkan pengurangan hasil bagi negara yang bergantung kepada kekuatan harga minyak.
Ini menyebabkan Kerajaan perlu mencari kaedah baharu atau mempelbagaikan hasil pendapatan bagi mengisi kelompongan hasil daripada penurunan harga minyak ini.
Melihat kepada Belanjawan 2020 yang diumumkan Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, Kerajaan telah unjur hasil pendapatan sebanyak RM50.5 billion daripada hasil minyak.
Ini merupakan angka yang cukup signifikan memandangkan ia mengambil lebih 20 peratus daripada hasil keseluruhan negara.
Unjuran ini dibuat berdasarkan harga purata AS$62 setong namun melihat kepada harga Brent ketika ini, ia lebih rapat kepada AS$30 setong.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasil KDNK akan susut di antara 0.8% dan 1.2% kerana covid, dan penyusutan harga minyak.
Menurut OCBC dan Bloomberg, ini akan mengakibatkan pengurangan sehingga hampir RM600 juta berdasarkan kadar tukaran terkini.
Jika keadaan ini berterusan, sehingga akhir tahun, ia berpotensi melenyapkan lebih RM17 billion, bersamaan dengan 1.1 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita.
Bayangkan. Harga minyak di pam murah tetapi impaknya pada ekonomi adalah begitu besar.
Inilah cabaran yang perlu ditangani oleh Menteri Kewangan kita yang baharu Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Adakah beliau akan mencadangakan semula untuk negara menggunapakai sistem percukaian Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST)?
Melihat kepada analisis daripada pakar ekonomi, GST dilihat mampu untuk mengisi kelompongan hasil negara tetapi ia harus diletakkan pada kadar yang rendah agar ia tidak menerima tentangan hebat dari rakyat.
Hanya masa akan menentukan samada GST akan diperkenalkan semula. Walau bagaimanapun, berdasarkan cabaran yang amat berat, Tengku Zafrul tidak mempunyai masa untuk berlengah.