Artikel

Tabung Haji Catat Agihan Keuntungan Selepas Zakat RM2.1 Bilion Bagi 2019

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019. 

Jumlah agihan ini dilihat meningkat RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018. Keseluruhan agihan ini mencatatkan RM2.1 bilion.

Catatan ini didorong oleh strategi pelaburan dan pengurusan kos yang baik. Secara tidak langsung menjadikan prestasi dan kedudukan kewangan semakin pulih.

Menurut Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif TH – pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

Manakala, bagi pendapatan keseluruhan tahun 2019 pula mencatatkan RM3.3 bilion. Susulan kestabilan pelaburan aset pendapatan sebanyak 58% telah menyumbang kepada prestasi yang baik. 

Menerusi pengurusan kos yang baik, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19% atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.