Artikel

WHO Klasifikasikan Covid-19 Sebagai Pandemik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini (12 Mac) telah mengisytiharkan bahawa penularan wabak koronavirus (COVID-19) ini diklasifikasikan sebagai pandemik.

Pandemik membawa erti kepada peningkatan jumlah kes melangkaui sempadan, iaitu secara besar-besaran. 

Tindakan pengumuman ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa virus ini berada pada tahap paling serius dan berbahaya kepada khalayak.

Kenyataan ini turut disokong dengan pemerhatian pada angka catatan jangkitan Covid-19 di Eropah. Angka tersebut dilihat terus meningkat secara mendadak. 

Menurut laporan AFP, jumlah kes di seluruh dunia telah meningkat kepada lebih daripada 124,000 dengan 4,500 kematian, termasuk peningkatan kematian di Iran dan Itali.

Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua WHO menyifatkan pengisytiharan ini adalah kali pertama berlaku disebabkan faktor koronavirus. Pihaknya sangat perihatin terhadap tahap penularan wabak tersebut dan melihat situasi ini amat membimbangkan.

Tedros menyeru kepada semua negara untuk mengambil tindakan segera dan agresif dalam membendung penularan wabak virus.

Tanda krisis mula meluas Eropah apabila beberapa negara menunjukkan peningkatan pada catatan virus di Ireland, Albania, Belgium, Sweden dan Bulgaria mendaftarkan kematian pertama mereka.

Sementara itu, Itali mencatatkan lebih 2,300 kes baru dalam 24 jam terakhir dan jangkitan di Sepanyol melonjak sebanyak satu perempat kepada lebih daripada 2,100.

Lonjakan itu membawa jumlah kes Eropah ke lebih daripada 22,000, dengan 930 kematian. Manakala,  Amerika Syarikat (AS) berkata ia sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan larangan ke atas pelancong dari benua itu.

Menerusi penularan ini, ia berterusan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan perkembangan kesihatan dilihat semakin merosot.