Artikel

Pakej Rangsangan Ekonomi Akan Dinilai Semula – Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM22 bilion yang sebelum ini  diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, akan dilihat semula.

Muhyiddin kata ini adalah bagi melihat keberkesanan dari segi jumlah peruntukan dan kumpulan sasar.

“Ini kita nak serahkan kepada MOF macam mana caranya, terutama untuk tentukan kumpulan sasar yang perlu dapat faedah dari pakej itu, dapat kita berikan tumpuan. 

“Selain itu, langkah mengembalikan keyakinan pelabur, kumpulan tertentu menjadi perhatian utama kerajaan,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, keputusan dari semakan semula pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu akan diumumkan dalam masa seminggu dua dari sekarang.

Selain itu, Majlis Tindakan Ekonomi akan diwujudkan (EAC) bagi membincangkan langkah-langkah segera yang diperlukan bagi menangani isu berkaitan, termasuk ekonomi negara, COVID-19, serta kos sara hidup, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan beliau sendiri, dan akan disertai Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan beberapa individu lain.

Mesyuarat itu merupakan kali pertama bagi Jemaah Menteri selepas kesemua mereka selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati semalam.