Artikel

Tiga Calon Dikenalpasti Menggantikan Tengku Zafrul Di CIMB

Dua orang calon dalaman CIMB dan seorang calon luar dikatakan telah disenarai pendek untuk menggantikan Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz sebagai Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB.

Tengku Zafrul telah meletakkan jawatannya di CIMB pada Isnin (9 Mac) setelah dilantik menjadi Menteri Kewangan baharu.

Calon-calon dalaman, Omar Siddiq Amin Noer Rashid dan Shahnaz Jammal adalah antara dua orang yang telah lama dinobatkan sebagai pengganti Tengku Zafrul, dan bukan merupakan calon yang ‘mengejut’.

Omar Siddiq kini adalah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CIMB. Beliau juga telah dinamakan sebagai ‘Pegawai Bertanggungjawab’ susulan peletakan jawatan Zafrul.

Shahnaz Jammal adalah CEO Perbankan Borong, yang juga meliputi Perbankan Pelaburan (Investment Banking) Kumpulan CIMB. Shahnaz adalah mantan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) CIMB.

Bagi calon luar pula, sumber menyatakan bahawa beliau adalah antara CEO Kumpulan Maybank. Bagaimanapun, kesahihan ini belum dapat disahkan.

Industri perbankan pada hari ini sedang mengalami satu situasi sukar, akibat gangguan perbankan digital, dan ketersediaan kredit yang kurang mencukupi.

Nilai pasaran CIMB juga telah susut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Syarikat ini telah jatuh ke tempat ketiga dari segi nilai pasaran, dibelakang Maybank dan Public Bank. CIMB telah pegang tempat kedua bank terbesar di Malaysia selama lebih sedekad, dan kehilangan posisi ini kepada Public Bank merupakan sebuah tamparan maruah yang harus diperbaiki segera oleh CEO baharu mereka.

Antara pemegang saham terbesar CIMB adalah Khazanah Nasional (26.8%), KWSP (14.16%), dan KWAP (6.84%), menurut Laporan Kewangan Tahunan CIMB 2018.