Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah memaklumkan KWSP cawangan Jalan Raja Laut akan ditutup buat sementara waktu. Langkah ini berikutan makluman seorang ahli KWSP telah disahkan positif COVID-19.
Ahli tersebut telah berurusan di cawangan itu pada 27 Februari 2020, jam 2.00 – 2.30 petang dan disahkan positif pada 3 Mac 2020.
Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli tersebut telah dijangkiti COVID-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.
Pihak KWSP telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.
Pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin.
Langkah proaktif telah diambil dengan menutup pejabat tersebut sehingga 13 Mac 2020 (Jumaat) untuk menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.
Pejabat KWSP ini akan beroperasi semula pada 16 Mac 2020 (Isnin).
Untuk makluman ahli, KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada COVID-19.
Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit. Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP.
Sementara itu, kaunter-kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa. Namun, ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.
Ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan yang terdekat sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan.