Artikel

Tengku Dato’ Sri Zafrul – Kenali Menteri Kewangan Malaysia

Hari ini (9 Mac) YAB Perdana Menteri Malaysia baru sahaja mengumumkan Senarai Jemaah Menteri baharu bagi pentadbiran negara.

Antara ahli jemaah yang menarik perhatian ramai adalah Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad.

Beliau kini telah diantik sebagai Menteri Kewangan Malaysia baharu.

Zafrul memiliki pengalaman lebih daripada 22 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan. 

Berkelulusan dari University of Bristol, United Kingdom dengan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan dan memperolehi Sarjana Seni (MA) dalam Kewangan dan Pengurusan dari Universiti Exeter, United Kingdom. 

Melalui pelantikan ini, Zafrul telah merakamkan ucapan beliau kepada YAB Perdana Menteri diatas pelantikannya sebagai Menteri Kewangan baharu.

“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk menyumbang kepada negara. Dengan rasa rendah diri saya menerima tanggungjawab yang peri penting di masa kedudukan ekonomi yang amat mencabar ini. Saya bertekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk negara dan saya yakin kerjasama antara pemegang taruh yang berkaitan akan menghasilkan kejayaan yang kita idamkan bersama.”

Menurut kenyataan CIMB Holdings juga – Beliau telah mengumumkan peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB serta merta susulan pelantikannya pada pentadbiran negara.

Untuk makluman umum, sebelum ini Zafrul telah berkhidmat di Maybank Investment Bank Berhad dan Maybank Kim Eng Holdings sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings Berhad dan Avenue Securities. 

Zafrul kini menjadi ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), mewakili Malaysia bagi mempromosikan perdagangan dan kerjasama di Asia Pasifik. 

Seterusnya, antara pencapaian beliau adalah mmeperolehi Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (2010), Darjah Dato Paduka Negeri Sembilan (2014), Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (2015) dan Dato Paduka Mahkota Selangor (2016).