Artikel

[Rencana] Pentingnya Akauntan Bertauliah Dalam Pengurusan Kewangan Berintegriti

Bukan sahaja pentadbiran Kerajaan berubah pada minggu lepas, malah beberapa pelantikan penting dibuat oleh syarikat seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan juga Malaysia Airports.

Apakah pelantikan berkenaan?

TH telah mengumumkan tiga lantikan baharu pengurusan kanan TH iaitu:

(i) Ketua Pegawai Kewangan

(ii) Ketua Pegawai Pelaburan

(iii) Pengurus Besar Pelaburan Strategik

Menurut mereka, pelantikan ini dibuat bagi mengukuhkan pentadbiran kewangan dan pelaburannya.

Pelantikan-pelantikan tersebut adalah Dato’ Merina Abu Tahir sebagai Ketua Pegawai Kewangan. Selain pernah dilantik sebagai ahli Majlis MIA pada Disember 2016 hingga November 2019, beliau juga merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia. Jelas, beliau merupakan akauntan yang bertauliah.

Selain Merina, TH telah melantik Damshal Awang Damit sebagai Ketua Pegawai Pelaburan, juga seorang akauntan bertauliah yang mempunyai 26 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan pelaburan domestik dan luar negara, analisa kredit serta kawal selia risiko.

Bagi Pengurus Besar Pelaburan Strategik , TH telah melantik Muhammad Fawwaz Aminuddin, seorang pemegang CFA dari CFA Institute dan Akauntan Bertauliah (ACA) dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Melihat kepada ‘tema’ pelantikan ketiga-tiga pegawai ini, jelas sekali pengalaman mereka sebagai akauntan dinilai sebagai penting untuk fungsi jawatan ini.

Tema ini juga dilihat pada Malaysia Airports yang melantik Dato Shukrie Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bulan ini.

Pengalaman beliau yang cukup mendalam dalam bidang pengurusan kewangan ditambah pula dengan pengiktirafan yang diterima sebagai akauntan menjadikan beliau diberi kepercayaan untuk mengemudi syarikat ini.

Tema pelantikan akauntan bertauliah dilihat penting bagi mengelakkan kemungkinan berlaku salah urus atau salah laku kewangan.

Diharap dengan pelantikan akauntan bertauliah, syarikat-syarikat ini dan syarikat lain di Malaysia dapat memastikan pengurusan kewangan yang berintegriti dan mengikut amalan terbaik yang menjadi kebiasaan di peringkat dunia.