Artikel

Ini Adalah Mengapa Persidangan Dewan Rakyat Ditunda

Ini adalah kenyataan media dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) susulan Takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 telah ditunda daripada Isnin, 9 Mac 2020 kepada Isnin, 18 Mei 2020.

Penundaan persidangan ini mengambil kira pelbagai faktor, terutamanya pelantikan barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang sedang dimuktamadkan.

Penundaan juga bagi memberi ruang kepada barisan kabinet untuk lebih memahami tugas kementerian dan jabatan masing-masing. 

Ia juga membolehkan Menteri-Menteri yang bakal dilantik untuk bersedia menjawab soalan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang merangkumi pertanyaan lisan, perbahasan, pembentangan rang undang-undang, dan usul-usul apabila Parlimen bersidang.

Malah, penundaan ini turut memberi peluang kepada Ahli-Ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan serta usul-usul baharu agar relevan dengan isu-isu semasa negara. 

Selain itu, tindakan penundaan ini juga bagi memastikan urusan-urusan pentadbiran di Parlimen berjalan dengan lancar.

Persidangan ini adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkaitan, dan ia turut disahkan teratur oleh YB Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Keputusan institusi Parlimen hendaklah dihormati oleh segenap lapisan rakyat, termasuk oleh Ahli-Ahli Parlimen sendiri.