FGV Holdings Bhd (FGV) hari ini mengumumkan bahawa semua 68 kilang dan 173 ladang yang merangkumi 373,517 hektar tanah, kini 100 peratus disahkan di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah Malaysian Standard MS 2530: 2013.
Anak syarikat FGV, Plantation Asia (Sarawak) Sdn Bhd adalah yang terakhir menjalani latihan ini dan menerima pensijilannya pada 27 Feb tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Haris Fadzilah Hassan – pensijilan MSPO mengukuhkan komitmen FGV terhadap kelestarian dan sokongan untuk usaha Kerajaan menerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk meningkatkan minyak sawit Malaysia di persada global.
Pihak FGV melihat pensijilan itu sebagai pengesahan nilai-nilainya sebagai pemain perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab dan sejajar dengan matlamat kemampanannya.
Salah satu objektif utama adalah untuk membawa masuk pekebun kecil dalam mewujudkan minyak sawit Malaysia yang mampan.
Menyedari perihal ini, FGV bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengenal pasti 8,372 pekebun kecil untuk didaftarkan untuk pensijilan MSPO di bawah skim MPOB.
Selaku pemain utama bagi industri minyak sawit, FGV akan terus menyokong perkembangan positif dalam industri ke arah meningkatkan imej industri minyak sawit di seluruh dunia.