Artikel

Persidangan Dewan Rakyat Ditunda 10 Minggu

Persidangan Dewan Rakyat akan ditunda sekitar 10 minggu, menurut sebuah laporan oleh Berita Harian.

Akhbar itu melaporkan bahawa keputusan ini dibuat susulan kenyataan yang dibuat oleh Yang Dipertua Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Dewan Rakyat kini akan mula bersidang pada 18 Mei 2020.

Sebelum ini, sidang Dewan Rakyat telah dijadualkan untuk berlansung di antara 9 Mac hingga 16 April 2020.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dijadualkan berlansung pada 9 Mac.

Susulan penundaan persidangan, ia bermakna tiada apa-apa acara berkaitan dengan Dewan Rakyat akan berlansung pada 9 Mac ini.

Pada Ahad lepas (1 Mac), Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff telah dilaporkan menulis secara rasmi kepada YAB Perdana Menteri, untuk menanyakan kepada beliau samada Dewan Rakyat akan bersidang mengikut jadual pada 9 Mac ini, atau ditangguhkan kepada hari lain.

Laporan media pada pagi Rabu (4 Mac) menyatakan bahawa Tan Ariff berkata sepucuk surat telah diberikan kepada beliau semalam (3 Mac) oleh Pejabat Perdana Menteri untuk tunda persidangan hingga ke 18 Mei ini.

Berikut adalah ketetapan takwim persidangan Dewan Rakyat.