Oleh Osman Jailani
Satu minggu yang penuh drama dalam arena politik Malaysia!
Bagi mereka yang mungkin bercuti ke luar negara atau tidak membaca langsung berita (saya pasti tidak), anda mungkin tidak tahu Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia!
Tahniah diucapkan kepada Tan Sri, namun upacara mengangkat sumpah ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan yang saya pasti cukup panjang buat Muhyiddin dan juga Perikatan Nasional.
Ini kerana bukan sahaja Perdana Menteri perlu membentuk Kabinet yang terdiri daripada mereka yang gagal mendapat majoriti dalam Pilihan Raya umum yang lalu, tetapi juga mereka yang terpalit dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
Ini menjadikan proses pembentukan Kabinet di bawah beliau lebih rumit kerana melihat kepada komposisi Perikatan Nasional ketika ini, Bersatu tidak memiliki majoriti kerusi jika dibandingkan dengan UMNO.
Oleh itu, ini mewujudkan keadaan dimana Muhyiddin perlu memastikan kepentingan semua parti dalam gabungan terjaga. Ini kerana, rapatnya jurang majoriti antara Kerajaan dan pembangkang ketika ini, mana-mana parti yang menarik sokongan daripada Muhyiddin akan mengakibatkan Kerajaan pimpinan beliau rebah.
Jadi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan politik negara, saya terpanggil untuk memberi beberapa cadangan buat Perdana Menteri kita yang baharu.
Pilih Individu Yang Berkaliber, Bukan Berasaskan Jawatan
Memang nampak mudah tetapi realiti politik Malaysia menyukarkan proses ini untuk berlaku. Biasanya, mereka yang menduduki jawatan kanan dalam parti akan diberikan posisi dulu dalam Kabinet.
Saya percaya, ramai Ahli Parlimen, dari mana-mana parti mempunyai kelayakan untuk menduduki portfolio-portfolio tertentu dalam Kabinet namun tidak memegang jawatan tinggi dalam parti.
Lupakan jawatan politik, pilih berasaskan kemampuan.
Pecahkan Tradisi Barisan Nasional
Saya berharap Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk M. Saravanan tidak diberi portfolio tradisi dipegang parti masing-masing.
Sebaliknya, kemampuan mereka harus dinilai berasaskan kepakaran, pengalaman dan visi yang ingin dicapai mereka.
Umum mengetahui bahawa Ka Siong dan Saravanan pernah menjadi Timbalan Menteri. Mungkin tiba masanya untuk mereka jadi Menteri di portfolio masing-masing?
Saya tidak mempunyai kebijaksanaan tersebut namun saya percaya Perdana Menteri dapat menguruskan hal ini dengan efektif.
Berikan peranan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak
Sebagai wilayah dalam Persekutuan ini, wakil-wakil dari kedua-dua Wilayah ini wajar diberi peranan lebih besar.
Maksud saya di sini bukan setakat bilangan jawatan di Kabinet tetapi autonomi sebenar.
Jika Perdana Menteri memberi ruang kepada wakil dari kedua-dua wilayah ini, saya pasti sokongan dan dokongan kepada pimpinan beliau akan semakin kukuh.
Sekian sahaja cadangan saya buat Perdana Menteri kita yang baharu.
Harap sudi dipertimbangkan demi kebaikan rakyat Malaysia bersama.