Artikel

KKM: Malaysia Kesan 7 Kes Baharu Positif COVID-19

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, tiada lagi sebarang kes baharu dicatatkan untu Coronavirus 2019 (COVID-19) dilaporkan (2 Mac 2020).

KKM menyatakan jumlah kumulatif kes COVID-19 sehingga hari ini kekal 29 kes; iaitu 17 orang dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua (2) orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan. 

Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 orang warganegara Malaysia dan tiga (3) orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali).

Jumlah 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj. Manakala tujuh (7) kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang. Kesemua kes ini dalam keadaan stabil.

Setelah 11 hari tiada kes COVID-19 yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), KKM, didapati bermula pada 27 Februari 2020 sehingga kini, gelombang kedua bermula di mana tujuh (7) kes COVID-19 telah dikesan. Kebanyakan kes merupakan kes-kes import atau berkait rapat dengan negara-negara luar dari Republik Rakyat China iaitu Jepun dan Itali.

KKM ingin merujuk kepada maklumat yang ditularkan di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikatakan disyaki dijangkiti COVID-19 dan dikaitkan dengan kes ke-26 COVID-19. Perkara ini sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun demi menjaga keselamatan bersama.